EPILOG CINTA II
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Epilog cinta II saya tulis dulu. Epilog cinta I mana? InsyaAllah jika ada kesempatan masa saya akan cuba tuliskan. Jika tak sempat atau terlambat saya minta maaf. Sentiasalah tengok update terkini di blog saya ini. Sama-sama hayati.. dan kongsikan.

Mutakhir ini cinta seolah-olah telah hilang keramatnya. Cinta yang suci dan penuh makna menjadi bahan terbuang, berciciran di mana-mana; di lorong-lorong, di bawah rimbunan pohon dan apatah lagi bila malam melabuhkan tirainya. Remaja berebut-rebut mengutip bunga cinta yang berkeliaran dan bersimpang siur di mana-mana. Harga diri dipertaruhkan hingga akhirnya menjadi habuan nafsu yang tidak mengenal iman dan kehormatan.
Entah dimana silapnya cinta yang menjadi lambang kebahagian, kedamaian dan keamanan manusia sejagat menjadi pemusnah. Remaja perempuan hilang maruah demi cinta. Lelaki menjadi penjaja cinta murahannya. Kedua-duanya hilang adab sopan, ibu bapa pula menjadi muruh, kononnya satu pengorbanan.
Kehancuran dan kemusnahan cinta terjadi saban waktu, demikian pula setiap detik ada bunga-bunga cinta berputik di mana-mana. Dimanakah bukti kata pujangga, cinta di alam remaja itu suci dan membawa kesejahteraan? Seluruh pelosok alam tahu cinta memerlukan pengorbanan. Cinta telah menyebabkan terkorbannya iman, agama, maruah, adab dan budaya, meskipun tidak dinafikan cinta pradewasa itu ada yang harum dan kekal mewangi.
Sebenarnya kesucian dan kebenaran cinta itu tidak lahir dari kata-kata. Ia bukan juga bukti sebuah kejujuran dan keikhlasan. Cinta hadir daripada keterampilan pemilik cinta itu sendiri. Seorang lelaki yang benar-benar jatuh cinta dan mencintai seorang perempuan akan menunjukkan sikap, sifat, prnampilan serta gerak laku yang sentiasa meyakinkan insan yang dicintainya. Awas wahai puteri-puteri, setengah-setengah daripada sikap yang demikian baik dan penuh sopan pun penuh pula dengan kepura-puraan.
Kekuatan dan kebenaran cinta yang diredhai Allah sebenarnya bermula daripada diri seorang yang beriman. Jelas suatu pendustaan sekiranya seorang lelaki berkata dia benar-benar mencintai seseorang perempuan tetapi dalam masa yang sama mencemarkan maruah, kesucian atau keimana wanita tersebut. Lelaki adalah pelindung dan pemimpin kepada perempuan. Merekalah pembela maruah dan nasib perempuan. Bolehkah diterima janji cinta sedangkan dalam masa yang sama dia mengheret pasangannya itu ke kancah maksiat? Diakah yang diharapkan menjadi teman melayari bahtera kehidupan untuk sama-sama mendarat di pulau iman?
Lelaki yang benar-benar mencintai pasangannya tidak akan mencemarkan kekasihnya walaupun sekadar bersentuhan sebagai bukti cinta. Ketahuilah olehmu wahai remaja, semua perlakuan itu tidak lain dan tidak bukan dari hasutan nafsu serakah yang ditujangi hasutan syaitan.
Cinta ibarat cahaya, bukan pencetus masalah dan pembawa derita. Tidak perlu berkorban untuk cinta kerana cinta yang benar-benar suci dan anugerah Ilahi menjadikan pemiliknya bertambah matang, dewasa, beriman malah berpribadi mulia.
Cinta pasti hadir dalam jiwa manusia terutamanya dalam kemelutnya menghadapi perubahan diri, persekitaran dan juga alam. Serpiha jiwa remaja betembung dengan perasaan ke arah kedewasaan menyebabkan lahirnya pertemuan dua perasaan iaitu jiwa keanak-anakan dan naluri kedewasaaan.
Ketahuilah, rasa cinta, kasih dan sayang di alam remaja hanyalah dorongan naluri untuk memiliki dan dimiliki. Sedangkan hakikat yang sebenar rasa demikian adalah pengisian ke arah tuntutan iman dan kesedaran untuk ditumpahkan sepenuhnya kepada Allah swt. Dan ketahuilah, rasa cinta itu sebenarnya adalah rasa resah yang lair dan tidak terpimpin. Ia adalah rasa yang bakal menjadi virus perosak kepada kehidupan yang penuh peradaban.
Wahai remaja, serahkanlah cintamu kepada Yang Esa, cintamu pasti berbalas dan pelbagai nikmat yang tidak terhintung.
Ibnuumair
KPLI Matematik 2007